Sumber Dari Harian Metro
GSC yang dianggotai Edy J selaku ketua dan pemain gitar, Widy (penyanyi utama), Pedd (penyanyi), Bakri (dram), Rejab (trombon), Fairuz (keyboard), Jalut (bass) dan Farin (saksofon) kini bersedia untuk kembali memeriahkan persada muzik dengan lagu mereka.
Edy J berkata, GSC kini terbabit dalam projek kerjasama bersama Life Records Malaysia untuk penghasilan single berjudul Ali Baba Ska.
"Single ini adalah satu penghormatan kami untuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Dijangkakan ia akan siap sepenuhnya dan pelancaran muzik video akan dibuat pada hujung Mac ini.
"Muzik video arahan Tengku Sharmizi (Kusha) ini juga sedang dalam proses untuk disiapkan. Malah, ia juga mendapat kerjasama dari Jabatan Kebudayaan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur)," katanya.
Menurutnya, GSC juga baru sahaja mencapai persetujuan untuk bekerjasama dengan Todak Muzik.
"Ia bertujuan menghasilkan sebuah album penuh yang bakal mengandungi 10 lagu baru di mana sembilan ciptaan saya dan satu ciptaan Fairuz.
"Proses rakaman dilakukan di studio Bakri Music Workshop, Kuala Lumpur. Beberapa muzik video juga dirancang untuk dihasilkan dari album ini. "Ia dijangka siap dan memasuki pasaran pada April nanti. Ia akan diterbitkan dalam bentuk piring hitam, kaset, CD dan platform digital," katanya.
Tidak ketinggalan kumpulan yang sudah lebih 20 tahun bergelumang dalam industri muzik ini turut terbabit dengan lagu tema RTM 75 tahun ciptaan Yuri Idris yang bakal dilancarkan juga pada April ini. "Kami juga terbabit dalam sebuah album kompilasi rilisan piring hitam berjudul Supernova Ska (Chicago) bersama banyak nama-nama besar dalam arena muzik Ska barat.
"Untuk waktu terdekat, GSC akan muncul dalam konsert maya Asian Ska Community Fest pada 6 dan 7 Mac ini. Rakaman konsert ini dibuat di Todak Muzik pada pertengahan Februari, " katanya. Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari semua media sosial (medso) rasmi GSC.
Sumber Dari Harian Metro
Comentarios